Sabtu, 13 April 2013

Babi, Riba dan Orang Kita : Halal Bukan Sekadar Dalam Makanan

Orang kita sangat sensitif dengan babi. Apa jua yang berkaitan dengan babi pasti akan ditolak serta ditentang bermati-matian. Apa sahaja makanan yang disyaki punyai lemak babi atau DNA babi ini, pasti akan diboikot habis-habisan walaupun ia cuma sekadar khabar angin serta tiada bukti umum.
Jika anda masih ingat, penjualan ubat gigi jenama terkenal jatuh merudum gara-gara tersebarnya khabar angin palsu bahawa ia mengandungi tulang babi.
Ini menunjukkan betapa berhati-hatinya sikap orang Melayu-Muslim di Malaysia berkenaan dengan halal haram dalam makanan. Ia merupakan satu sikap yang terpuji dan selaras dengan kehendak syariat Islam dan disenangi Rasulullah SAW.
Namun begitu dalam tidak sedar, ada sesuatu yang “haram” yang amat dekat dengan kita tetapi langsung tidak dipandang serius walaupun ia lebih haram dan lebih membawa mudharat daripada babi.

Ianya adalah RIBA!

Ya, riba. Riba lebih besar haramnya di sisi Islam dan lebih besar mudharatnya di sisi masyarakat Islam.
Sebesar-besar dosa makan babi, besar lagi dosa riba. Dosa riba bersamaan dengan mengangkat senjata memerangi Allah.
Ia termaktub di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 275,
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Sebesar-besar dosa makan babi, masih tidak disebut oleh Allah SWT sebagai berperang dengan-Nya. Malah Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi pernah menyebut dalam mentafsirkan ayat 275 surah al-Baqarah ini sebagai “inilah antara ayat al-Quran yang paling menakutkan”.
Dalam satu lagi hadith pula, Rasulullah SAW menegaskan bahawa “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya, lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)
Tidak cukup itu, memakan riba dibariskan bersama 7 dosa besar di sisi islam iaitu syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). Ia berpandukan daripada satu hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk memandang remeh berkenaan dengan isu babi di dalam makanan, tetapi ia sebagai satu peringatan khas agar kita semua membuka mata lebih luas untuk melihat satu perkara yang lebih besar daripada itu tetapi dekat amat dengan kita.
Walhal sebenarnya, dosa makan riba jauh lebih besar dari dosa makan babi.
Jika kita jijik melihat babi serta sebarang perkara dikaitkan dengan babi, samalah juga hendaknya apabila kita semua melihat perkara dalam keadaan riba dan melibatkan sebarang elemen riba.
Lihat di dalam dompet kita; 
adakah terdapat kad 
ATM perbankan konvensional? Wujudkah kad kredit bank konvensional?
Lihat pula pinjaman perumahan dan kenderaan yang kita lakukan; 
adakah ia dibuat dengan perbankan konvensional.
Kemudian lihat pula polisi insurans yang kita ambil; 
adakah ia daripada syarikat insurans konvensional?
Jika masih menggunakan item-item di atas, ketahuilah ia adalah riba dan berurusan dengannya sama dengan berperang dengan Allah, 36 kali berzina dan sebahagian daripada 7 dosa besar.

Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang?

Yang perlu dilakukan sekarang tidak lain tidak bukan ialah HIJRAH!
Ya, HIJRAH dan BERUBAH sekarang sebelum ajal menemui kita dan bertaubat serta menyesali dosa-dosa riba yang pernah kita terlibat selama ini, semoga Allah ampunkan dosa-dosa sebelum ini.

Jumaat, 12 April 2013

AMALAN AMALAN MURAH REZEKI

AMALAN AMALAN MURAH REZEKI

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah -

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. " (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar -
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa -
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah -
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa -
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya. " (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah -
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain -
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya..." (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat -
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak -
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya. "
10. Berpagi-pagi -
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim -

Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya. " (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk -
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah -
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud) -
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha -
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah -
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: "... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)
17. Amalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu -
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca
"Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa -
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya -

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim) Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal -
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri
"jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Fikir-fikirkan
Renung-renungkan
Dan
Selamat Beramal
Inn Shaa Allah
d’Qulon