“Usahawan yang gagal adalah mereka yang berhenti mencuba. Mereka menganggap yang mereka telah mencuba pelbagai cara. Namun mereka masih gagal. Mereka tidak akan menemui kejayaan dengan berhenti mencuba.”Thomas Edison tidak pernah berhenti mencuba dan dia juga tidak pernah berasa kecewa dengan apa yang diusahakannya. Akhirnya, kita dapat menikmati malam yang lebih terang hasil kegagalan demi kegagalan beliau.
Azizi Ali, seorang jutawan yang dikenali di Malaysia juga tidak berjaya dalam perniagaan pertamanya. Malah bukan juga dengan perniagaan keduanya. Telah banyak kegagalan yang ditempuhnya dalam perniagaan, dan kemudian barulah beliau mengecapi kejayaan.
Kejayaan yang diperoleh diatas kegagalan adalah lebih manis dan lebih bermakna untuk dikenang. Ini kerana disitulah letaknya ilmu yang paling berharga dalam kehidupan kita untuk menjadi lebih berjaya pada masa depan.
Pengalaman ialah guru yang mencurahkan titis-titis ilmu kepada kita semua secara tidak langsung. Walau kadangkala ia amat memeritkan dan mengecewakan, tetapi ia tetap juga memberikan pengajaran yang tidak ternilai.
Tiada wang ringgit yang dapat dinilaikan bersamaan dengan ilmu yang diperoleh dari sebuah pengalaman. Tiada ukuran yang dapat diberikan bagi menyukat sejauh mana ataupun sebesar manakah ilmu tersebut.
Ianya merupakan sesuatu yang amat bernilai dalam hidup kita ini. Tiada apa yang setanding dengan apa juga yang kita mampu bayar bagi mendapatkan pengajaran dan ilmu yang benar-benar berharga ini.
Konsep “Man Jadda Wa Jadda”
Dalam al-Quran juga terdapat gesaan supaya setiap umatnya tidak berhenti daripada berusaha dalam mengerjakan sesuatu urusan supaya selesai. Bagi umat Islam, kita berpegang pada kata-kata keramat, “Man Jadda Wa Jadda”, yang membawa maksud bahawa “Siapa yang berusaha, dia akan berjaya.”Sebagai umat Islam yang berpegang kepada kepercayaan kepada agama dan rezeki kurniaan Ilahi sepenuhnya, sudah pasti kita tidak akan sekali-kali berhenti berusaha. Malahan Allah SWT juga telah memerintahkan kita semua untuk bertebaran di muka bumi ini untuk mencari rezeki yang bersih dan halal.
Sebagai usahawan yang menjalankan perniagaan, sudah pasti ia merupakan satu kerugian sekiranya anda mahu mengalah dalam perniagaan. Ketika anda berasa seperti sudah tiada lagi hari yang cerah pada esok hari, ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa ada bersama-sama kita dalam setiap apa juga yang kita lakukan ini.
Percayalah janji-NYA kepada kita dan mohonlah, mintalah dan merintihlah kepada-NYA atas segala kesulitan yang telah menimpa anda. Percayalah bahawa tiada apa pun yang dapat menyekat rezeki anda di dunia ini melainkan maut sahaja yang akan menghentikan segala usaha dan perjuangan anda di dunia ini.
Konsep menyerah sepenuhnya kepada Allah S.W.T setelah berusaha bersungguh-sungguh. Satu bentuk mutiara kata penuh hikmah yang baik untuk dikongsi bersama. Usaha merangkumi strategi & tindakan yang berkesan untuk mendapat hasil yang terbaik. Memang benar banyak kekurangan yang kita nampak, tetapi sangat sedikit kita melihat kelebihan & kurniaanNYA yang telah diberikan kepada kita. DIA memberi dengan bersebab, begitu juga sebaliknya. Sangat penting bagi kita sebagai hambaNYA agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keberkatan dan rahmat dariNYA. Jatuh bangun semula, jatuh bangun semula, sampai bila?…hingga kita mampu mengecap nikmatnya. Cukup hebat pemberianNYA untuk kita menadah tanda syukur atas setiap pemberianNYA yang maha segala-galanya.
Jazakallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan